Thursday, February 10, 2011

Sejarah Songket



Mengapa Songket

Songket punya nilai sejarah yang tinggi sebagai fabrik warisan agung. Selain mengangkat martabat si pemakai, motif dan warna tenunan songket melambangkan kedudukan seseorang.

Apakah Songket

Songket merupakan sejenis kain yang biasanya ditenun tangan, dan mempunyai corak rumit daripada benang emas atau perak.

Industri tenunan songket ini telah berkembang pesat terutamanya di negeri-negeri Pantai Timur seperti di Terengganu, Pahang dan Kelantan.

Makna Songket

Perkataan songket bermaksud membawa keluar atau menarik benang daripada kain atau menenun menggunakan benang emas dan perak.

Sejarah Songket

Songket hanya dipakai oleh golongan bangsawan iaitu keluarga kerabat diraja dan orang besar negeri. Kehalusan tenunan dan kerumitan motif corak songket ketika itu menggambarkan pangkat dan kedudukan tinggi seseorang pembesar. Songket telah terkenal di Malaysia dan Indonesia (rumpun melayu) sejak abad ke-13 yang lampau.

Sejarah dari mana datangnya kain songket itu tidak dapat dipastikan dengan tepat, namun asal usul perkataan songket dikatakan berasal daripada ‘menyungkit’ kerana dalam bahasa Siam ‘kek’ membawa erti menyungkit selain ‘songkok’ (China) membawa maksud yang sama.

Mengikut Robyn Maxwell (1990), pengetahuan orang Melayu mengenai teknik songket mungkin diambil daripada orang Cina yang memperkenalkan bahan logam tetapi kehadiran budaya dari Timur Tengah, Parsi, Turki dan Moghul (India) telah memperkukuhkan lagi penghasilannya.

Tidak banyak diketahui mengenai asal songket, tetapi kemungkinan penenunan songket berkembang di Malaysia melalui perkahwinan antara keluarga diraja, yang merupakan strategi penyatuan biasa antara dua Negara sekitar abad ke-15.

Songket menggunakan teknik tenunan, di mana benang emas atau perak ditenun antara benang sutera pada kain latar. Fabrik yang mewah dan mahal ini menggambarkan struktur sosial dikalangan bangsawan Melayu.



Corak dan motif

Corak dan motifnya memaparkan ciri-ciri unik identiti orang Melayu dan sekali gus mencerminkan cita rasa budaya bangsa yang mekar dalam persekitaran yang kaya dengan keindahan dan keunikan.
Antara corak yang digunakan:

•           Susunan bunga penuh
•           Susunan bunga bertabur
•           Susunan bercorak

Terdapat juga kajian daripada pakar yang mengkategorikan corak songket kepada tujuh jenis iaitu :

  • Songket bunga penuh (overall or full pattern)                                  
  • Songket bunga bertabur (spotted or scattered pattern)
  • Songket corak berjalur (stripes)
  • Songket corak berdiri (vertical stripes)
  • Songet corak melintang (horizontal stripes)
  • Songket corak siku keluang (chevron)
  • Songket corak tapak catur (checks)
  • Songket corak pucuk rebung (bamboo shoot pattern)
  • Tepi kain (border pattern)
Motif yang biasa digunakan pula adalah seperti:

•           Motif Tumbuh-tumbuhan
•           Motif Binatang
•           Motif Alam/Benda
•           Motif Kuih

Fabrik songket yang paling popular dan menjadi pilihan ramai ialah songket bunga penuh yang bermotifkan corak teluk berantai

Proses Pembuatan
Tenunan songket ini dilakukan sebagai industri kecil, yang mana kemahiran seseorang penenun itu mengambil masa selama enam minggu untuk menghasilkan sehelai kain songket yang panjangnya di antara 20 hingga 40 meter. Sesuatu yang mengkagumkan tentang seseorang penenun mahir ialah, dia tidak melakar corak songket di atas kertas sebelum kerja-kerja menenun dilakukan sebaliknya ia tercetus daripada daya kreativiti dan imaginasi yang tinggi lagi unik.


Teknik Menyungkit

Secara ringkasnya proses menenun songket adalah dengan menggunakan teknik menyungkit iaitu menggunakan lidi buluh atau bilah nibung melalui benang loseng (warp) di permukaan alat tenun yang dipanggil kek tenun. Proses menyungkit dilakukan setelah benang karat butang disediakan.
Benang karat butang digunakan untuk membuat reka corak atau sulaman benang emas.

Mencelup Benang

Benang perlu dibersihkan sebelum dicelup ke dalam pewarna. Setelah pewarnaan dibuat, benang perlu di keringkan, sebelum kerja selanjutnya dilaksanakan.

Melerai Benang

Pelenting yang diperbuat daripada buluh kecil digunakan untuk melilit benang. Proses ini dilakukan dengan bantuan alat darwin dan alat pemutar rahat.

Menganeng Benang
Proses membuat benang loseng yang diregang di alat penenun bagi menentukan saiz panjang atau jumlah helai kain yang akan ditenun.

Menggulung

Benang-benang yang diregang di alat menganeng digulung dengan sekeping papan loseng.


Menyapuk Benang

Setelah benang loseng dimasukkan ke dalam gigi atau sikat jentera, kerja-kerja menyapuk dilakukan. Dua urat benang loseng dikaitkan melalui setiap celah gigi jentera.

Mengarak Benang

Karak dibuat daripada benang asing yang digelung. Benang loseng berangka genap dan ganjil akan diangkat turun naik secara berselang seli sewaktu menenun.

Menyongket Benang

Proses mereka corak di atas benang loseng dengan menggunakan alat yang dipanggil lidi dengan menyongketkan benang loseng sebanyak tiga atau lima lembar dan kemudian diikat dan dikenali sebagai proses ikat butang.

Menenun

Alat torak yang diisi dengan benang pakan atau benang emas, dimasukkan ke kiri dan kanan di celah-celah benang loseng mengikut corak yang telah ditentukan hinggalah menjadi sekeping kain. Kain yang telah siap ini dipotong mengikut saiz.

Songket di Abad Millenium

Hari ini, pemakai songket lebih menyeluruh, tidak terhad kepada kerabat diraja atau golongan bangsawan sahaja. Cara pemakaiannya juga lebih meluas, bersesuaian dengan majlis yang dihadiri. Begitu juga corak dan motifnya yang semakin kontemporari, sesuai dengan perubahan dan peredaran masa. Suasana yang melatari songket kini turut berubah selaras dengan peredaran masa.

Kini, usaha untuk memastikan kesinambungan industri songket masih berterusan dan secara relatifnya berjaya mencapai tahap yang memuaskan sehingga songket semakin popular digunakan sebagai busana majlis pertunangan atau perkahwinan, hantaran perkahwinan, cenderahati, alas meja, beg dan hiasan dinding.
Peningkatan kos penghasilan sutera, benang emas dan perak serta perubahan fesyen dan trend sedikit sebanyak mempengaruhi industri songket seawal pertengahan abad ke-20.


Perjuangan Songket
Usaha memartabatkan industri songket Malaysia ke persada fesyen tanah air dan antarabangsa dicetuskan oleh Allahyarham Datin Seri Endon Mahmood.
Perjuangan Allahyarham Endon yang tidak mengenal putus asa menganjurkan pelbagai program bagi mengembalikan kegemilangan songket Melayu seolah-olah memberi nyawa baru kepada industri seni fabrik yang menjadi identiti masyarakat Malaysia.


Rujukan

No comments:

Post a Comment